Projek MKUltra, Eksperimen Rahsia CIA Untuk Mengawal Minda Manusia

project mk ultra
"Project MKUltra" merupakan nama kod bagi sebuah projek sulit Central Intelligence Agency (CIA) bagi mengawal minda manusia. Pada mulanya, ramai pihak yang menganggap ianya hanya sebuah teori sebelum dokumen sulit yang didedahkan pada tahun 1975 di bawah "Freedom of Information Act" Amerika Syarikat berjaya membuktikan kewujudannya.Pada peringkat awal, tiada sesiapapun orang awam yang patut tahu akan kewujudan projek yang penuh kontroversi ini.
projek rahsia cia 99
Ianya dirancangan dengan penuh teliti sehinggakan kod namanya telah diubah beberapa kali bagi menimbulkan kekeliruan kepada pihak yang cuba menyiasat kewujudannya.
Malah, Pengarah CIA sendiri dipercayai cuba menghapuskan bukti-bukti kewujudan projek ini ketika mana kerajaan cuba melakukan penyiasatan terhadap CIA.

Berasal daripada Operation Paperclip

operation paperclip
Sebelum ini kami pernah menulis panjang lebar mengenai Operation Paperclip. Projek MKUltra adalah kesinambungan daripada Operation Paperclip. Operation Paperclip dimulakan oleh Joint Intelligence Objectives Agency pada tahun 1945 yang bertujuan merekrut saintis Nazi Jerman bekerja dengan pihak Amerika Syarikat.Tujuannya adalah mendapatkan bantuan kumpulan saintis dari Jerman ini membangunkan senjata ketenteraan dan menyumbangkan kepakaran mereka dalam bidang eksplorasi angkasa lepas. Ketika itu, Amerika Syarikat sedang bersaing rapat dengan Kesatuan Soviet dalam bidang eksplorasi angkasa lepas dan mereka percaya sesetengah saintis Jerman ini dapat membantu mereka.
Walaupun Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Harry S. Truman telah mengarahkan tiada orang Nazi Jerman yang dibenarkan terlibat dalam mana-mana projek kerajaan, ianya tetap dilakukan memandangkan Amerika Syarikat sangat terdesak menyayingi kehebatan Kesatuan Soviet dalam bidang eksplorasi angkasa lepas.
Walaupun kebanyakan saintis Jerman yang direkrut ini terlibat dengan projek-projek hebat yang mendapat pengiktirafan komuniti saintis dunia dan NASA sendiri, segelintir kecil daripadanya telah dikerah bekerjasama dalam projek yang lebih kontroversi seperti MKUlltra.
Pihak Amerika Syarikat pada ketika itu sedar mereka ketinggalan dengan Kesatuan Soviet dari aspek teknik penyiasatan untuk mendapatkan maklumat. Maka, pada 13 April 1953, Allen Welsh Dulles yang ketika itu merupakan Pengarah CIA telah melancarkan projek yang penuh rahsia dan kontroversi yang dikenal umum sebagai MKUltra ini.

Matlamat MKUltra

agensi cia
Selain MKULtra, projek rahsia ini turut dikenali dengan nama lain antaranya MKNaomi dan MKDelta. Perkataan "MK" membawa maksud bahawa projek ini dibiayai oleh staf teknikal dari CIA sementara perkataan "Ultra" pula adalah nama kod yang telahdigunakan untuk dokumen yang diklasifikasikan semasa Perang Dunia Kedua (WWII).
Ketika dilancarkan, matlamat utama projek ini adalah mencipta satu serum yang boleh disuntik pada pada penyiasat atau mata-mata dari Kesatuan Soviet dan tahanan perang bagi memudahkan pihak CIA mendapatkan maklumat dari mereka.
Pelbagai eksperimen pada manusia dilakukan bertujuan untuk mengenal pasti dan mencipta ubat dan prosedur yang akan digunakan dalam soal siasat untuk membolehkan minda mereka dikawal, seterusnya memudahkan subjek untuk membuat pengakuan mengenai info dan maklumat-maklumat penting yang diperlukan.
Projek ini telah dilancarkan oleh Pejabat Perisikan Sains CIA dan diselaraskan dengan Makmal Peperangan Biologi Tentera A.S.. Pihak CIA amat komited dalam projek ini memadangkan terdapat ura-ura pihak Kesatuan Soviet, China dan Korea Utara turut membangunkan perkara yang sama (walaupun tidak dapat dibuktikan kewujudannya).

Eksperimen-eksperimen Projek MKUltra

pendedahan mkultra
Pelbagai jenis eksperimen dilakukan yang kebiasaannya melibatkan penggunaan dadah dan bahan kimia berbahaya dan terlarang yang mempunyai pelbagai kesan sampingan seperti berikut:
  1. Bahan yang meningkatkan kecekapan mental dan persepsi.
  2. Bahan yang akan menyebabkan subjek menjadi lebih cepat / lebih perlahan dalam tempoh matang.
  3. Bahan yang akan menyebabkan kerosakan otak sementara / kekal dan kehilangan ingatan.
  4. Bahan yang akan meningkatkan keupayaan individu untuk menahan penyeksaan dan paksaan semasa soal siasat dan apa yang dipanggil "brain wash".
  5. Kaedah fizikal menghasilkan kejutan dan kekeliruan sepanjang tempoh masa yang panjang dan boleh digunakan secara tidak sengaja.
  6. Bahan yang menghasilkan ketidakupayaan fizikal seperti lumpuh kaki, anemia akut, dan sebagainya.
  7. Bahan yang akan menghasilkan bahan kimia yang boleh menyebabkan lecetan pada kulit.
  8. Bahan yang mengubah struktur kepribadianseseorang sehingga menyebabkan kecenderungan penerima bergantung kepada orang lain dipertingkatkan.
  9. Satu bahan yang akan menyebabkan kekeliruan mental
... dan banyak lagi. Antara bahan yang paling banyak digunakan ialah LSD, THC, dan super hallusinogen BZ sintetik yang dibuat oleh kerajaan, serta perangsang yang boleh didapati seperti alkohol.Para penyelidik sering mengkaji dua ubat dengan kesan yang bertentangan (seperti barbiturat dan amfetamin) secara serentak dan memerhatikan tindak balas subjek mereka, atau memberi subjek yang berada di bawah pengaruh alkohol dos ubat seperti LSD.
Selain itu, kaedah hipnosis juga dilakukan, selalunya dalam usaha untuk menimbulkan ketakutan pada subjek yang kemudiannya boleh dieksploitasi untuk mendapatkan maklumat. 

Siapakah subjek MKUltra?

projek kawalan minda
Apa yang menjadikan projek ini penuh kontroversi adalah pembabitan subjek-subjek yang menjadi bahan eksperimen yang dilakukan. Adakalanya, kaedah paksaan dan penipuan digunakan bagi membolehkan subjek mengambil pelbagai jenis dadah untuk tujuan kajian ini.
Sebagai contoh, golongan pelajar telah dijerat untuk mengambil pelbagai jenis dadah untuk eksperimen ini dengan janji bahawa mereka akan dibekalkan lebih banyak dadah sekiranya bersetuju untuk mengambil bahagian dalam eksperimen ini. Malah, golongan seperti pelacur, banduan dan pesakit mental juga dijadikan subjek eksperimen.Tidak semua manusia yang dijadikan subjek eksperimen ini adalah orang awam. Malah, sesetengah staf CIA juga dikatakan menjadi bahan eksperimen. Dr. Sidney Gottlieb, ketua ahli kimia MKUlta mengatakan dia hendak mengkaji kesan dadah LSD pada manusia biasa, maka mereka terpaksa juga menjadikan staf CIA sendiri sebagai bahan kajian.
Ujian ke atas manusia tetap diteruskan bertahun-tahun lamanya walaupun beberapa subjek telah menunjukkan kesan samping seperti insomnia, depresi, lumpuh, kekeliruan diri dan sebagainya. Lebih menyedihkan, subjek yang mengalami kesan-kesan sampingan ini tidak dirawat dan langsung tidak dilaporkan kepada pihak berautoriti.

Pendedahan mengenai Projek MKUltra

dokumen mkultra
Pada awal 1973, setelah skandal Watergate terbongkar, Pengarah CIA ketika itu Richard Helms telah mengarahkan kesemua fail dan dokumen mengenai MKUltra dihapuskan. Dia khuatir pegawai dan agensi kerajaan akan datang untuk menyiasat dan dia tidak mahu projek penuh kontroversi seperti MKUltra terbongkar.
Pada tahun 1975, Presiden Gerald R. Ford telah mengarahkan penyiasatan menyeluruh ke atas CIA untuk menghapuskan sebarang konspirasi dalam organisasi tersebut. Penyiasatan tersebut dapat membuktikan bahawa Richard Helms telah menghapuskan beberapa bukti mengenai projek ini.Walau bagaimanapun, kira-kira 20,000 dokumen yang tidak sempat dihapuskan kerana masalah teknikal berjaya ditemui. Penemuan dokumen-dokumen DAN testimoni-testimoni dari beberapa orang subjek yang menjadi bahan uji kaji berjaya mendedahkan lebih banyak perkara yang cuba disembunyikan mengenai proojek ini.
Beberapa tahun kemudian, dokumen mengenai projek ini telah diterbitkan untuk paparan umum di bawah "Freedom of Information Act" Amerika Syarikat. Ada antara mangsa projek ini yang telah menyaman pihak CIA dan kerajaan namun tidak pasti apa kesudahannya.
Sejak pendedahan dokumen mengenai projek ini, beberapa buah filem dan dokumentari telah diterbitkan yang diinspirasikan daripada kisah sebenar projek ini.  Antara yang popular adalah "The Men Who Stare at Goats", siri "Jason Bourne" dan "Stranger Things".

Comments

Popular Posts