5G: Kerajaan sedang tunggu laporan SKMM dan NACSA berkenaan menghalang penggunaan teknologi Huawei

Kerajaan sedang menantikan laporan rasmi dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) sebelum membuat keputusan sama ada perlu untuk menghalang Huawei dari membangunkan infrastruktur 5G di Malaysia.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Encik Gobind Singh Deo menyatakan pihak kementeriannya sedang mempertimbangkan isu keselamatan yang melibatkan pengeluar peralatan telekomunikasi dari China berkenaan dan sedang menyiapkan laporan berkenaan isu tersebut.
“Kita tunggu dulu laporan lengkap dari SKMM. Sebarang keputusan yang bakal diambil akan berdasarkan kepada laporan itu kelak.
“Kerajaan akan mengumumkan mengenai tindakan wajar apabila semuanya siap kelak. Apabila kita bercakap mengenai isu 5G ini, terdapat banyak pandangan yang telah dikemukakan.
“Tumpuannya adalah untuk mengkaji dan memastikan sistem itu selamat kerana kita menjangkakan ini adalah teknologi yang akan mengubah keadaan pada masa akan datang,” katanya selepas melancarkan Program Pembangunan Usaha Niaga HeiTech di sini hari ini.
Encik Gobind Singh Deo turut menambah setakat ini tiada sebarang tarikh akhir diberikan untuk laporan berkenaan perlu disiapkan.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan akan menjalankan kajian sebelum membuat keputusan mengenai penyertaan Huawei dalam membina infrastruktur 5G di Malaysia.
Huawei telah diharamkan daripada melancarkan 5G di beberapa negara lain, di tengah-tengah dakwaan aktiviti ‘cyberspying’, walaupun tiada bukti yang telah dikemukakan.
Sumber berita diperoleh dari The New Straits Times.

Comments

Popular Posts