5 Bangsa Asal Manusia Menurut Kajian Sains
Kajian sosiologi yang dijalankan beratus-ratus tahun, seringkali memberikan pengiktirafan dan teori yang berbeza tentang pemahaman kita dalam mentafsir sistem sosial manusia, berikutan perubahan pandangan ataupun juga penerimaan orang ramai ketika itu.Secara rasminya menurut pengiktirafan antarabangsa sehingga kini - ada empat kumpulan bangsa utama yang diiktiraf. Empat kumpulan besar ini pula boleh dipecah-pecahkan kepada ribuan kumpulan kecil lain yang digelarkan 'kumpulan etnik,' dengan anggaran ada 5,000 etnik kesemuanya.
Walaupun empat saja diiktiraf, satu ketika dulu terdapat juga pendapat yang menyebut di dunia ini sebenarnya wujud lima bangsa asal manusia namun pendapat ini tidak lagi diterima pakai.
Mari kita lihat apa itu bangsa asal terlebih dahulu.
Teori bangsa utama masyarakat dunia
Pada awal pengenalan teori berkenaan bangsa utama dunia yang bermula pada abad ke 18 sehinggalah sekitar abad ke 19, masyarakat dunia percaya bahawa manusia boleh dibahagikan kepada lima kumpulan utama - ethiopian, caucasian, mongolian, american dan yang terakhir malayan.Lima kelas ini diusulkan oleh Johann Friedrich Blumenbach, seorang pengkaji Jerman yang lahir pada tahun 1752. Blumenbach diiktiraf oleh pelbagai pihak sebagai pengasas kepada kajian manusia moden, berikutan tulisannya yang membawa pengaruh besar pada penyelidikan. Dengan mengkaji bentuk tengkorak kepala, bentuk wajah dan warna kulit - Blumenbach mengklasifikasikan manusia sebenarnya datang dari lima keluarga dan setiap keluarga mempunyai 'warna' mereka yang tersendiri.
Kajian Blumenbach mula mengalami berubah dengan pengenalan klasifikasi baru, khasnya semasa perang dunia meletus. Pada era pertengahan abad ke 20, seorang pengkaji Amerika bernama Carleton S. Coon memperkenalkan klasifikasi baru menggunakan kategori caucasoid untuk kulit putih, negroid untuk kulit hitam, capoid, mongoloid dan australoid mewakili orang pribumi Australia dan sekitar kepulauan Papua, dengan bangsa 'malayan' dibuang.
Usul awal Blumenbach berkenaan bangsa malayan sebagai salah satu bangsa utama dunia tidak lagi diguna pakai. Bangsa 'malayan' mula dikategorikan hanya sebagai salah satu kumpulan etnik. Walaupun kini menjadi salah satu asas kepada kajian pengklasifikasian manusia zaman moden, pendapat Coon ini tidak lari daripada mendapat tentangan pengkaji-pengkaji lain yang ada unsur rasisme hasil sentimen bangsanya sendiri dalam mengeluarkan klasifikasi tersebut.
Coon didakwa seolah mahu memperkenalkan segregasi pada sistem sosial manusia serta dituduh tidak dapat berlaku adil dalam kajiannya. Buku beliau yang bertajuk 'The Origin of Races' diterbitkanpada tahun 1962 mendapat reaksi bercampur baur, ada yang bersetuju dan ada yang menolak cadangan Coon.
Empat bangsa asal manusia yang diterima kini
Setakat ini hanya empat sahaja bangsa asal diterima secara rasmi; caucasoid, mongoloid, negroid dan australoid.
Caucasoid dipercayai kumpulan manusia yang datang datang daripada banjaran pergunungan Caucasus, yang terletak di kawasan Laut Hitam dan Laut Caspia bersempadan dengan negara Russia, Georgia, Azerbaijan dan Armenia. Walaupun mempunyai perbahasan dan pandangan bercanggah, setakat ini majoriti penyelidik bersetuju dengan pandangan ini sebagai asal-usul bangsa Caucasoid dan punca istilah 'Caucasian' yang kerap digunakan.
Bangsa Caucasoid boleh dipecahkan kepada kumpulan etnik kecil seperti etnik Aryan, Semitic, Hamitic, Nordic, Mediterranean, Dinaric, Alpine, Arabid, Baltic, Iranid dan Armenoid. Mereka memiliki kulit yang cerah dengan rambut lurus serta bentuk muka yang diistilahkan sebagai tajam. Kulit cerah itu pula dikatakan berpunca daripada persekitaran mereka yang sejuk, menyebabkan pigmentasi kulit mereka menjadi cerah.Negroid pula mewakili etnik Aborigines, Papuan, Negritos dan Melanesian serta beberapa kumpulan etnik lain. Majoriti orang Negroid dikatakan menetap di kawasan sekitar Afrika pada mulanya, sebelum berhijrah ke kawasan lain.
Identiti orang Negroid pula unik. Mereka mempunyai kulit lebih gelap, kasar dan rambut kerinting. Kebiasaannya hidung mereka sedikit lebar dan bibir lebih tebal serta mempunyai kerangka yang agak tegap. Bangsa Negroid dianugerahkan dengan kekuatan stamina yang tinggi berbanding bangsa lain selain daripada ketahanan badan yang lebih utuh, membolehkan mereka hidup dalam kawasan yang mencabar.
Bangsa Mongoloid pula mewakili satu bangsa manusia yang kita terima sebagai wajah sekarang 'Asia' pada ciri-cirinya. Selain daripada orang Asia Timur dan Asia Utara, orang asal Amerika juga dikategorikan dalam bangsa ini. Bangsa Mongoloid mempunyai kulit yang kekuning-kuningan, rambut lurus dan hitam, kulit licin tanpa banyak bulu roma serta tubuh agak langsing.
Bangsa Mongoloid dibahagikan kepada dua, dengan etnik Neo-Mongoloid seperti orang Eskimo, Buryat, Cina dan Chukchi yang biasanya duduk di kawasan bersuhu rendah. Kumpulan etnik kedua di bawah bangsa Mongoloid adalah Paleo-Mongoloid yang mengandungi kumpulan Polinesia, Filipinos, Burmese dan beberapa kumpulan lain. Kedua kumpulan etnik ini mempunyai perbezaan ketara pada rupa fizikal, disebabkan tinggal di iklim yang berbeza dan kebolehan badan menyesuaikan diri, menyebabkan perbezaan struktur tubuh badan di antara Neo-Mongoloid dan Paleo-Mongoloid.Kumpulan terakhir yang keempat adalah bangsa Australoid. Menurut satu teori yang sangat popular, bangsa Australoid adalah bangsa asal yang datang dari Afrika dan telah melakukan migrasi ke tanah besar Australia sekarang, melalui jalan darat merentasi kawasan Asia Tenggara satu masa dulu.
Orang asal Australia, Melanesian, Papua dan Negritos semuanya dikategorikan di bawah bangsa Australoid. Memiliki ciri yang hampir serupa dengan bangsa Negroid, kewujudan kategori bangsa Australoid ini menimbulkan perdebatan di kalangan pengkaji yang percaya Australoid sepatutnya dikategorikan di bawah Negroid.
Bagaimanapun setakat ini, secara rasminya bangsa Australoid diambil sebagai satu bangsa khas asal manusia serta dipercayai turut sama berkait dengan kelompok manusia yang tinggal di sekitar Pulau Andaman dan Pulau Nicobar, yang terletak di Lautan Hindi.
Di mana bangsa Malayan?
Pada tahun 1775, dalam disertasinya yang bertajuk De Generis Humani Varietate Nativa atau 'On Natural Varieties of Mankind', Johann Friedrich Blumenbach memperkenalkan empat kategori bangsa asal. Bagaimanapun, pada tahun 1795 selepas hampir 20 tahun, Blumenbach menambah satu kategori bangsa yang beliau percayai wujud dan patut diiktiraf - bangsa Melayu atau digelarkan oleh beliau sebagai 'bangsa perang' atau 'bangsa coklat.'
Digelarkan sebagai 'Malay-Polinesia', bangsa ini dipercayai mendiami Tanah Sunda sehinggalah kawasan sekitar Madagascar dan kepulauan Pasifik. Blumenbach menggunakan terma 'Malay' atau Melayu dalam tulisannya, mengambil semua suku etnik yang dilabelkan sebagai Mariana, Filipina, Maluku, Sunda, Indo-China termasuklah suku-suku di Kepulauan Pasifik seperti etnik Tahiti sebagai bangsa Melayu.
Tindakan Blumenbach memperkenalkan 5 kategori bangsa menukar model teori 4 bangsa yang diperkenalkannya sebelum itu, yang sebenarnya diambil daripada idea gurunya Carl Linnaeus, seorang pengkaji tamadun manusia dari Sweden. Blumenbach sendiri dalam komentarnya berpendapat model bangsa yang diperkenalkan oleh gurunya Linnaeus perlu ditambah baik, tidak lagi perlu bergantung kepada bukti geografi semata-mata tetapi kepada sistem hirarki yang beliau percaya lebih tepat. Jadi pada pandangan beliau, pengenalan bangsa 'Malayan' merupakan satu tindakan yang lebih tepat mencerminkan bangsa-bangsa asal di seluruh dunia.Walau demikian, cadangan Blumenbach ini ditolak oleh majoriti pengkaji manusia yang lain yang berpendapat Melayu tidak sepatutnya dilihat sebagai salah satu bangsa utama dan hanya patut dianggap sebagai satu etnik. Atas sebab itulah, sehingga kini bila menyebut tentang bangsa asal dalam kajian yang dijalankan, kita hanya akan belajar tentang Caucasoid, Mongoloid, Negroid dan Austaloid.
Comments
Post a Comment