Cara membuang malware dari komputer Windows anda

Komputer yang menjadi perlahan dari yang sepatutnya serta kemunculan pelbagai jenis pop-up yang terpacul secara tiba-tiba merupakan antara gejala komputer yang dijangkiti virus, spyware atau lain-lain jenis malware. Sungguhpun komputer berkenaan sudah dipasang perisian antivirus, ada masanya pertahanan komputer dapat ditembusi jika pengguna tersalah langkah.
Oleh itu, pengguna perlu memeriksa sama ada kemungkinan terdapat malware yang dapat menjangkiti komputer tanpa dikesan dan diimbas oleh perisian antivirus. Cara terbaik untuk membanteras malware-malware yang tidak dapat dikesan ini adalah dengan tindakan dari pengguna sendiri melalui langkah-langkah berikut;

Langkah 1: Masuk ke Safe Mode

Sebelum anda meneruskan langkah-langkah pembersihan, anda dikehendaki untuk memutuskan segala sambungan ke internet. Ini bertujuan mencegah malware dari membocorkan data-data peribadi anda kepada pihak ketiga.
Jika anda merasakan komputer anda telah dijangkiti malware, hidupkan komputer dalam Mod Selamat (Safe Mode). Di dalam mod ini, hanya program-program dan perkhidmatan yang penting-penting sahaja akan dimuatkan. Oleh itu, jika malware berkenaan akan dimuatkan secara automatik sebaik sahaja Windows dihidupkan, ia tidak akan dimuatkan jika pengguna memasuki Mod Selamat. Ini bertujuan memudahkan kerja-kerja membuang fail-fail berkaitan malware berikutan ianya tidak diaktifkan.
Untuk menghidupkan Mod Selamat (Safe Mode) pada Windows 10, caranya adalah anda pergi ke butang Start dan pilih butang Power (Kuasa). Seterusnya, jangan klik apa-apa lagi. Tekan kekunci Shift dan klik Reboot.
Apabila menu dengan paparan penuh muncul, pilih Troubleshooting, kemudian Advanced Options dan Startup Settings. Pada tetingkap berikutnya, klik pada butang Restart dan tunggu sehingga paparan seterusnya muncul. Berikut, anda akan melihat senarai menu dengan pilihan startup yang bernombor. Pilih nombor 4 untuk Safe Mode. Jika anda ingin mendapatkan akses ke internet untuk tujuan imbasan antivirus dan antimalware atas talian, anda boleh memilih nombor 5 untuk Safe Mode with Networking.

Langkah 2: Padamkan fail-fail sementara (temporary files)

Sebaik sahaja memasuki Mod Selamat, anda perlu memadamkan fail-fail sementara (temporary files) terlebih dahulu. Langkah ini bertujuan menjadi kerja-kerja imbasan virus lebih pantas selain dari menyediakan lebihan ruang untuk storan dan mungkin juga boleh membuang sesetengah jenis malware.
Untuk memadamkan fail-fail sementara ini, anda boleh menggunakan alatan (tool) Disk Cleanup. Disk Cleanup boleh diakses melalui carian pada kotak carian dengan menaip ‘Disk Cleanup‘.

Langkah 3: Muat turun pengimbas malware

Anda perlukan perisian pengimbas malware untuk langkah ini. Hal ini disebabkan tidak semua perisian antivirus dapat mengesan kehadiran malware 100 peratus dan ia memerlukan sokongan dari perisian anti malware bagi menjejaki dan membuang malware berkenaan dari komputer.
Antara perisian percuma dan bagus untuk mengimbas anasir-anasir yang wujud di dalam komputer anda adalah, BitDefender Free EditionKaspersky Virus Removal ToolMalwarebytesMicrosoft Malicious Software Removal ToolAvast dan SuperAntiSpyware.

Langkah 4: Lakukan imbasan malware dengan perisian Malwarebytes





Sebagai contoh di dalam artikel ini, saya menggunakan perisian Malwarebytes untuk mengimbas sebarang anasir yang terdapat pada komputer. Anda mungkin perlu memuat turunnya dari komputer lain jika komputer yang dirasai telah dijangkiti tersebut tidak dapat bersambung ke internet.
Pasangkan Malwarebytes dengan mengikuti langkah-langkah pemasangan yang telah disediakan. Selesai pemasangan, anda digalakkan untuk melakukan ‘Threat Scan‘ untuk mula mengesan sebarang malware pada komputer anda. Bergantung dengan spesifikasi komputer anda, masa yang diperlukan untuk imbasan adalah sekitar 5 hingga 20 minit.Jika Malwarebytes telah tertutup sendiri dengan secara tiba-tiba sewaktu imbasan dan ia tidak dapat dihidupkan semula, besar kemungkinan komputer anda telah dijangkiti malware jenis rootkit atau jangkitan lain yang boleh masuk ke peringkat yang lebih dalam hingga mampu menepis sebarang jenis antivirus dan antimalware. Oleh itu, jalan yang paling selamat adalah anda perlu format semula komputer anda. Sebelum format, sebaiknya anda selamatkan dulu fail-fail penting anda sebelum ianya diformatkan bersama.




Bagaimanapun, jika Malwarebytes berjaya melengkapkan imbasan, ia akan memaparkan hasil imbasannya. Seterusnya, jika terdapat jangkitan yang berjaya dikesan, anda boleh memilih untuk membuangnya dengan klik pada butang Remove Selected. Malwarebytes akan memaklumkan kepada anda untuk menghidupkan semula komputer anda bagi melengkapkan proses membuang jangkitan berkenaan.

Langkah 5: Baiki masalah pada pelayar

Jangkitan malware mampu merosakkan fail-fail sistem Windows dan tetapan-tetapan lain. Antara tabiat yang sering dibuat oleh malware adalah mengubahsuai homepage pelayar web anda dengan tujuan menjangkitinya semula.
Sebelum mula menggunakan pelayar web anda, periksa homepage dan tetapan sambungan internet anda. Untuk Internet Explorer, anda boleh melihatnya pada tab General pada Internet OptionsUntuk pelayar-pelayar lain seperti Edge, Chrome dan Firefox anda boleh memeriksanya pada tetingkap tetapan masing-masing.

Memastikan komputer anda sentiasa dalam keadaan bersih dari segala anasir-anasir jahat

Antara nasihat biasa untuk memastikan komputer anda sentiasa dalam keadaan selamat adalah dengan memastikan program antivirus masa-nyata dipasang pada komputer anda. Serta, pastikan ianya sentiasa dikemaskini dari masa ke semasa.
Anda mungkin boleh mencuba perisian antivirus percuma seperti Avast, AVG, Panda atau Comodo bagi melindungi komputer anda. Malah, aplikasi antivirus Windows Defenderkeluaran Microsoft yang sedia terpasang pada Windows 10 pun sudah lebih dari memadai pada masa ini.
Selain itu, anda juga boleh menggunakan perkhidmatan seperti OpenDNS untuk menyekat komputer anda dari mengakses ke laman-laman web yang merbahaya.
Tidak kurang pentingnya, anda perlu mengamalkan tabiat melakukan backup untuk komputer anda sekurang-kurangnya sebulan sekali agar anda tidak kehilangan fail-fail penting andainya berlaku kerosakan teruk pada Windows anda.
Walaubagaimanapun, untuk memastikan keadaan komputer sentiasa selamat adalah bergantung dengan cara penggunaan komputer berkenaan oleh penggunanya itu sendiri juga. Perlindungan yang disediakan oleh Windows, pelayar, perisian antivirus dan firewall sepatutnya sudah memadai untuk melindungi pengguna dari malware.
Namun, ada masa dan ketikanya kita akan terkhilaf hingga ‘tersedut’ malware dan oleh itu, diharapkan panduan ini dapat membantu anda menangani masalah yang berkaitan malware.

Comments

Popular Posts