Kenapa Kebanyakan Kedai Gunting Rambut Ada Tanda Merah/Biru
Sedar atau tidak, anda dapat mengetahui identiti sesebuah kedai gunting rambut itu melalui lampu merah, biru, putih yanKeg diletakkan di luar gerai. Mungkin ramai yang menganggap bahawa lampu merah, biru dan putih ini adalah sekadar identiti kedai gunting rambut semata-mata dan tidak mempunyai maksud yang tersendiri.Menariknya, penggunaan lampu ini bukanlah sesuatu yang baru sebaliknya telah digunakan sejak ratusan tahun dahulu. Penggunaan lampu bercorak berputar ini juga bukan hanya di Malaysia, sebaliknya turut digunakan di kebanyakan kedai gunting rambut seluruh dunia.
Apakah maksud warna merah, biru dan putih ini? Apakah maksud corak berputar pada lampu ini? Untuk kali ini, pihak Iluminasi akan berkongsi serba sedikit asal-usul lampu yang menjadi identiti kedai gunting rambut ini.
Kepentingan memiliki rambut yang kemas dan rapi
Masyarakat Mesir Purba berkemungkinan merupakan tamadun manusia pertama yang memotong dan mencukur bulu dan rambut mereka secara rapi sebagai sebahagian daripada rutin utama mereka.Masyarakatnya biasa akan memastikan bulu atau rambut pada muka dan kepala mereka sentiasa dalam keadaan kemas. Mereka biasanya akan menggunakan pisau untuk mencukur dan batu pumis (pumice stone) untuk membersihkan dan melicinkan muka mereka.
Pada zaman ini, pekerjaan sebagai seorang tukang gunting rambut dipercayai belum wujud namun manusia sudah mula sedar akan kepentingan menjaga dan merapikan rambut dan bulu-bulu di muka mereka.
Risiko mempunyai jambang di medan perang
Keadaan kedai gunting rambut sekitar tahun 1842 yang menjadi tempat bersosial
Pekerjaan menggunting rambut dikatakan wujud ketika zaman Greek purba. Ianya menjadi tempat kaum lelaki memotong rambut dan jambang mereka sambil melakukan perbincangan mengenai pelbagai perkara berkaitan falsafah, politik dan isu-isu semasa.
Pada awalnya, kewujudan tukang gunting rambut di zaman Greek purba adalah sebagai tempat untuk memotong dan merapikan jambang orang lelakinya yang sangat lebat. Namun, ketika era peperangan dengan orang Parsi, mereka dapati jambang sangat merisikokan mereka di medan perang.
Memiliki jambang yang panjang memudahkan orang Parsi menjatuhkan mereka dengan menarik jambang mereka yang panjang itu. Sudah tentulah perkara ini akan memudahkan mereka dibunuh setelah terjatuh daripada kuda tunggangan mereka.Menyedari akan hakikat ini, Alexander the Great telah mengarahkan kesemua lelaki yang menyertai peperangan hendaklah mencukur jambang mereka. Arahan ini tersebar luas ke dalam kalangan orang awam sehingga mewujudkan pekerjaan menggunting rambut dan mencukur jambang.
Kewujudan tukang menggunting rambut
Pekerjaan menggunting rambut ini dipercayai wujud buat pertama kalinya semasa zaman Greek purba sebelum tersebar luar ke kawasan lain yang diterokai dan ditakluki mereka. Bagi orang Roman, mereka lihat muka yang licin tanpa sebarang bulu dan rambut yang pendek sebagai satu tarikan dan gaya penampilan.
Melalui penaklukan Empayar Rom, idea mencukur jambang dan memiliki rambut pendek tersebut tersebar ke seluruh dunia. Kejatuhan Empayar Rom pada tahun 476 telah meninggalkan kekosongan kuasa di seluruh Eropah. Keadaan ini memudahkan pihak Gereja Katolik Roman meluaskan pengaruhnya di Eropah, seterusnya mempengaruhi gaya hidup mereka.
Amalan "bloodletting" untuk merawat penyakit
Sewaktu zaman pertengahan, terdapat satu cara merawat penyakit yang sudah diharamkan pada masa kini. Ianya dinamakan "bloodletting" dimana tukang rawat akan membuat sedikit torehan pada kulit bagi membolehkan darah (yang dipercayai kotor dan penyebab utama penyakit) keluar, seterusnya dapat mengubati pesakit.
Pada waktu itu, tugas rawatan ini dilakukan oleh paderi dan paderi yang melakukan prosedur bloodletting ini biasanya akan mendapatkan bantuan daripada seorang tukang gunting rambut kerana kepakaran mereka mengendalikan peralatan tajam seperti pisau.
Keadaan ini berubah apabila pada tahun 1163 Pope Alexander III telah mengharamkan paderi daripada melakukan prosedur bloodletting ini. Tidak dapat dipastikan apakah rasionalnya disebalik pengharaman ini. Keadaan ini telah menyebabkan tugas bloodletting ini diambil alih sepenuhnya oleh seorang tukang gunting rambut.
Selain bloodletting, seorang tukang gunting rambut pada waktu tersebut juga melakukan pelbagai prosedur perubatan lain antaranya mencabut gigi, merawat luka dan sebagainya. Seorang tukang rambut ketika itu umpama seorang doktor. Malah, Ambroise Pare dari Perancis yang dianggap sebagai Bapa Perubatan Moden pada abad ke 16 juga dikatakan memulakan kariernya sebagai seorang tukang gunting rambut.
Maksud sebenar lampu merah, biru dan putih
Setelah anda membaca tulisan di atas, maka lebih mudahlah untuk memahami maksud sebenar lampu yang menjadi identiti kedai gunting rambut ini. Lampu ini dikatakan berrkait rapat dengan prosedur bloodletting yang dilakukan seorang tukang gunting rambut dahulu.
Warna merah pada lampu ini membawa maksud darah sementara warna putih pula umpama kain pembalut luka bagi membalut kesan torehan pada kulit. Biru dikatakan mewakili darah yang tidak beroksigen (non-oxygenated blood) dalam urat. Sementara itu, corak lingkaran ke bawah menandakan arah aliran darah aorta di dalam badan.
Menarik bukan? Siapa sangka lampu yang menjadi identiti kedai gunting rambut ini mempunyai sejarahnya yang sangat unik.
Comments
Post a Comment