Raja Leonidas dan Perang Thermopylae : Kisah Sebenar Disebalik Filem '300'
Peminat-peminat filem pasti tahu tentang sebuah filem aksi yang diadaptasi daripada komik berjudul '300' lakonan Gerard Butler. Filem itu pada zamannya merupakan sebuah filem aksi yang unik kerana membawa beberapa teknik baru pembikinan filem yang akhirnya menjadi ikutan sehingga kini.Sejarah dalam filem itu, walaupun berdasarkan kisah sebenar yang pernah berlaku lebih banyak mengambil inspirasi daripada kisah komik '300' hasil karya Frank Miller dalam jalan cerita serta persembahan.
Kisah tentera Greek terpaksa berhadapan dengan jumlah askar Persia yang lebih 10 kali ganda bilangan mereka, dipimpin oleh Raja Leonidas itu berlaku dalam dua peperangan serentak sebenarnya melibatkan dua tempat berbeza, dalam waktu yang sama.
Mengapa peperangan yang digelarkan 'Perang Thermopylae' ini sangat popular untuk dibicarakan peminat-peminat sejarah lama dunia?
Agenda penaklukan Persia
Selepas tewas dalam Perang Marathon pada tahun 490BC, orang Persia di bawah pimpinan anak kepada Raja Darius I yang menaiki taktha, Raja Xerxes mula meneruskan agenda ayahnya meluaskan pengaruh kerajaan Persia. Pelan untuk menakluk Greece dengan melalui Hellenspont dan seterusnya masuk melalui Thrace, dengan membawa jumlah angkatan yang besar diteruskan berpandukan kepada rancangan asal.Bagi memastikan rancangan mereka berhasil ekoran kegagalan menyeberangi Gunung Athos dalam beberapa pertempuran sebelum itu, Xerxes bercadang untuk membina sebuah terusan merentasi tanah genting pergunungan tersebut.
Mengetahui rancangan penaklukan Persia, penduduk Athens dan Sparta mula bersedia membina peralatan bagi melindungi bandar mereka, termasuklah kapal-kapal layar. Xerxes menawarkan perjanjian damai, meminta hadiah sumbangan daripada orang Greek sebagai tanda perdamaian namun ditolak bulat-bulat oleh orang Greek ketika itu, yang yakin kerjasama di antara Athens dan Sparta akan berjaya mengusir keluar serangan Persia.
Berdepan perang yang semakin hampir, beberapa strategi untuk menentang Persia diajukan dalam perbincangan kedua-dua pemerintah. Jeneral-jeneral Sparta diberikan tanggungjawab mengetuai perang di darat, sementara Jeneral Athens mengetuai serangan di laut. Pergerakan tentera Persia yang sudah melintasi Hellenspont, menyebabkan mereka perlu melalui satu laluan sempit yang terletak di Thermopylae.
Ini menimbulkan idea pada salah seorang Jeneral Athens bernama Themistocles, kerana laluan sempit itu mampu membolehkan tentera yang lebih sedikit jumlahnya berdepan jumlah angkatan Xerxes yang lebih ramai.Bagi merealisasikan idea beliau, Themistocles memujuk tentera Sparta meninggalkan kedudukan mereka, bagi membantu mempertahankan kawasan milik Athens. Sebagai pertukaran, Themistocles dan seluruh tentera Athens berjanji akan mempertahankan sebuah kawasan bernama Artemisium daripada serangan laut Xerxes.
Selepas dipersetujui tentera Sparta, seluruh lelaki dewasa Athens diminta untuk turut menyertai peperangan dan golongan wanita serta kanak-kanak dipindahkan ke kawasan bernama Peloponnesus, untuk dilindungi. Tentera yang berperang di darat, mula bergerak ke Thermopylae di bawah arahan Sparta, mempertahankan jurang sempit yang terletak di antara bukit dan laut - pintu kepada bahagian selatan Greece yang dikenali dengan nama 'The Hot Gates.'
Strategi Themistocles memerlukan kemaraan tentera Persia di halang secara serentak di dua tempat - jadi tentera Athens berperang dalam perang yang dinamakan 'Peperangan Artemissium' sementara tentera Sparta terlibat melindungi The Hot Gates, dalam 'Peperangan Thermopylae.'
Mempertahankan 'The Hot Gates'
Ketika mendapat berita tentang tugas mereka, Raja Leonidas dan tenteranya sedang meraikan festival Carneia yang melarang mereka menyertai peperangan - berdasarkan undang-undang masyarakat Sparta. Bagaimanapun, majlis penasihat mereka merasakan kepentingan untuk melindungi The Hot Gates jauh lebih besar berbanding pantang-larang mereka.Raja Leonidas diberikan pelepasan untuk membawa 300 orang askarnya yang digelarkan Hippeis dan berharap mereka dapat mengumpulkan lebih ramai askar dalam perjalan ke Thermopylae, serta mampu bertahan sementara menunggu kedatangan tentera Sparta sebenar. Mereka tiba di Thermopylae dengan jumlah keseluruhan hampir 7,000 orang kekuatan bergabung dengan tentera-tentera Greece lain dari negeri Arcadia dan Corinth, termasuk 1,000 orang Phocian yang pernah bertugas membina dinding pertahanan di The Hot Gates.
Oleh kerana orang Phocian sudah mengetahui tentang satu laluan pergunungan yang ada serta mampu memintas kedudukan mereka seterusnya menggagalkan strategi pertahanan Themistocles, Raja Leonidas meminta 1,000 orang Phocian yang sudah mahir dengan kawasan tersebut untuk melindungi laluan pergunungan itu.
Pada pertengahan bulan Ogos tahun 480BC, tentera Persia mula kelihatan di Teluk Malian, berdekatan Thermopylae. Xerxes menghantar wakil untuk rundingan dengan tawaran lumayan kepada Leonidas dan tenteranya. Rundingan itu ditolak.
Xerxes menunggu selama lebih empat hari tanpa melakukan apa-apa. Hanya pada hari ke lima, melihat Leonidas dan orang-orangnya terus berdegil mempertahankan kedudukan mereka, Xerxes mengarahkan tenteranya menyerang.
Kebijaksanaan Themistocles, keperkasaan Leonidas
Strategi bijak Themistocles mencipta benteng di darat dan lautan membolehkan kemaraan tentera Persia disekat dengan mudah, buat sementara. Ini kerana lokasi yang dipilih Themistocles memang menyukarkan tentera Persia untuk mara.
Kedua-dua titik pertarungan merupakan kawasan laluan sempit yang akan membolehkan tentera Greece yang lebih kecil jumlahnya, mampu berdepan dengan tentera Persia yang lebih ramai.
Jumlah yang terlalu besar (dianggarkan di antara 70,000 ke 800.000 orang) tentera Persia memaksa tentera Persia melakukan tindakan lebih pantas, disebabkan keperluan untuk mendapatkan bahan bekalan askar-askar yang ada.
Harapan Themistocles, sekiranya mereka berjaya mempertahankan kedua-dua kawasan ini untuk satu tempoh, lama-kelamaan tentera Persia akan perlu bergerak atau merempuh masuk. Bagaimanapun, jumlah pengorbanan yang diperlukan sukar sekali untuk diramal dari pihak mereka.
Xerxes mula menyerang The Hot Gates
Raja Leonidas mengarahkan tenteranya mempertahankan laluan sempit itu dengan formasi mereka yang dinamakan 'phalanx.' Berikutan kelebihan berdasarkan faktor geografik serta kelebihan tentera Hoplites arahan Leonidas, mereka berjaya mempertahankan kedudukan mereka dalam hari pertama serangan tentera Persia yang berjumlah lebih 10,000 orang.
Peralatan yang digunakan orang Greece ketika itu juga jauh lebih sesuai untuk pertempuran di situ, kerana tentera Persia dilengkapi dengan pedang dan tombak yang lebih pendek memerlukan mereka masuk ke dalam perangkap Leonidas.
Tidak mengerti kenapa sukar untuk mereka memecah masuk, Xerxes menghantar beberapa kumpulan besar lagi. Semua serangan Persia berjaya dipatahkan pihak Greece. Menjangkakan serangan yang dilakukan sebelum itu sekurang-kurangnya berjaya menurunkan jumlah tentera Greece, hari kedua peperangan Thermopylae berlaku dalam corak yang sama dengan kegagalan demi kegagalan tentera Persia.
Hanya selepas seorang warga Trachinia bernama Ephialtes bertindak memberitahu tentera Persia dan Xerxes berkenaan laluan pergunungan yang mampu merentasi kedudukan orang Greece, Xerxes mengarahkan komandernya yang bernama Hydarnes dengan lebih 20,000 orang untuk cuba melalui laluan tersebut.
1,000 orang Phocian yang ditugaskan mengawal laluan tersebut terpaksa berundur melihat jumlah tentera yang besar di hadapan mereka. Khabar buruk kegagalan orang Phocian melindungi laluan tersebut sampai ke telinga Leonidas. Atas perbincangan, beliau memutuskan untuk terus mempertahankan kedudukan mereka; walaupun tahu mereka kini sudah dikepung tentera Persia.
Berjuang hingga mati
Walaupun Leonidas mengambil keputusan untuk terus bertahan, dia membuka peluang kepada mana-mana tentera yang mahu berundur untuk meninggalkan mereka di situ. Majoriti askar gabungan beberapa negeri itu mula beredar, dengan hanya Leonidas, pasukan pengawal Hippeis beliau disertai oleh 400 orang Thebans dan 700 orang Thespian mengambil keputusan untuk terus mempertahankan The Hot Gates.
Tindakan Leonidas yang tidak mahu berpatah balik menimbulkan beberapa persoalan pada pengkaji sejarah tentang sebab sebenar Leonidas terus berkeras mempertahankan kedudukan mereka.
Banyak pihak menyebut tindakan itu diambil berikutan tatacara perang orang Sparta yang tidak dibenarkan berundur. Walau bagaimanapun, pendapat paling popular menyebut Leonidas bertindak mengorbankan dirinya bagi memastikan tentera yang mahu berundur berjaya melarikan diri. Ini kerana masih ada pihak perlu menghalang kemaraan Persia daripada arah laut. Dengan berkorban, seramai lebih 3,000 orang askar selamat untuk berjuang di kemudian hari.Menyedari risiko di serang dari belakang oleh tentera Hydarnes, Leonidas sudah bersedia berhadapan dengan nasib yang bakal menimpa mereka. Serangan tentera Xerxes terpaksa dipertahankan dengan jumlah tentera yang lebih kecil. Nekad sekurang-kurangnya mahu mengorbankan seberapa ramai tentera Persia sebelum mereka dibunuh, Leonidas dan saki-baki tenteranya bergerak mendekati angkatan tentera Persia - mula berperang dalam kawasan yang lebih luas secara berdepan-depan.
Pada hari ketiga perang Thermopylae, Leonidas terkorban selepas dipanah askar Persia. Tentera di bawahnya cuba berundur ke bahagian lereng bukit namun mereka terus ditekan oleh jumlah tentera Persia yang jauh lebih ramai. Melihat semakin sukar untuk bertahan, orang-orang Theban mengambil keputusan menyerah diri dan orang-orang Sparta terus berjuang sehingga tidak ada seorang pun tinggal.
Strategi Themistocles berjaya akhirnya
Selepas tentera kecil Leonidas gagal mempertahankan Thermopylae, pintu untuk Persia masuk terbuka luas. Themistocles mengubah strateginya walaupun dia sendiri berjaya mempertahankan Artemissium selama 3 hari. Beliau mengeluarkan arahan untuk menyembelih semua binatang ternakan yang ada agar tidak jatuh ke tangan Persia. Tentera Athens mula berundur ke Salamis bagi merangka strategi baru dan mengumpulkan kembali orang-orang mereka.Xerxes dan tenteranya berjaya masuk ke Greece, memusnahkan bandar yang tidak tunduk kepadanya seperti Plataea dan Thespiae sebelum mara ke ibu negeri Greece, Athens yang sudah kosong. Themistocles mengambil keputusan untuk mempertahankan Teluk Saronic, di mana strategi hampir serupa sekali lagi digunakan.
Kali ini, mereka mengambil inisiatif lebih awal menyerang tentera Persia lebih awal berbanding bertahan seperti di Thermopylae dan Artemissium. Tentera Persia mengalami kekalahan dalam Perang Salamis, memaksa Xerxes dan tenteranya berundur.
Kedudukan tentera Parsi yang sudah terlalu jauh daripada Hellespont, membuatkan Xerxes mula risau sekiranya kawasan tersebut dapat dikuasai orang Greece menyebabkan laluannya untuk kembali ke Asia tersekat.
Xerxes berundur dengan tenteranya namun berdepan kondisi teruk akibat wabak dan kekurangan bekalan makanan. Dia meninggalkan panglimanya yang bernama Mardonius untuk meneruskan kemaraan mereka, namun kejayaan tentera Greece mengambil semula Attica dan beberapa kawasan lain, menjadi pemangkin kepada kebangkitan semula orang Greece.Dalam Perang Plataea, tentera Sparta, Athens dan Tegeans sekali lagi bergabung menyerang kubu orang Persia pada tahun 479BC, Mardonius berjaya dibunuh beserta 43,00 tentera Persia menandakan berakhirnya ancaman Persia ke atas Greece.
Comments
Post a Comment