Amerika Syarikat lancar serangan siber, ganggu peluru berpandu Korea Utara
Pentagon menggunakan malware dan penyekat isyarat untuk mengganggu sebarang usaha pembangunan misil.
Tiga tahun lalu, bekas Presiden Amerika Syarikat Barack Obama telah mengarahkan pegawai-pegawainya di Pentagon untuk meningkatkan tahap keberkesanan serangan siber dan elektronik terhadap program misil Korea Utara. Arahan ini diberikan sebagai salah satu usaha untuk mensabotaj sebarang ujian pelancaran yang akan dilakukan pada masa depan.
Sesetengah pakar yang bersetuju dengan langkah berkenaan mendakwa serangan siber ini dapat memberikan kelebihan untuk sistem pertahanan anti misil Amerika Syarikat untuk mematahkan serangan. Serta, dapat membantutkan sebarang usaha pembangunan misl Korea Utara yang mampu mengancam Amerika Syarikat selama bertahun-tahun.
Namun, terdapat juga pakar yang tidak bersetuju dengan langkah serangan siber berkenaan. Hal ini kerana mereka bimbang jika berlaku sebarang kesilapan pada misil disebabkan serangan siber, ia boleh menyebabkan bahaya yang lebih besar seperti tersasar ke negara lain misalnya.
Bagaimanapun, berdasarkan laporan-laporan umum yang disediakan oleh pentadbiran Amerika Syarikat, baik di bawah Obama mahupun Trump, didapati Amerika Syarikat masih lagi belum berupaya menangkis program nuklear dan misil secara efektif. Malah, New York Times turut melaporkan Barack Obama menggesa penggantinya Donald Trump supaya mengambil berat berkenaan hal ini.
Serangan elektronik
Keputusan untuk memperkasakan serangan siber dan elektronik ini dibuat setelah pentadbiran Obama mendapati sistem pertahanan anti peluru berpandu konvensional tidak berkesan untuk mempertahankan Amerika Syarikat. Sungguhpun sistem ini sudah membelanjakan $300 billion sejak dari era pentadbiran Eisenhower lagi, ia didapati mencatatkan kadar kegagalan setinggi 56 peratus bagi ujian penerbangan pesawat pemintasnya yang berpangkalan di Alaska dan California.
Terdapat juga kebimbangan bahawa sistem pertahanan ini tidak begitu berkesan di dalam keadaan situasi sebenar pertempuran. Oleh itu, melalui serangan siber yang diusahakan oleh pentadbiran Obama diharapkan dapat mencegah sebarang usaha pelancaran misil sebelum ianya diletakkan di atas tapak pelancaran roket.
Pihak New York Times telah memulakan usaha mendapatkan maklumat berkenaan kemungkinan serangan siber dilancarkan oleh Amerika Syarikat berikutan peningkatan jumlah kegagalan misil Korea Utara sejak kebelakangan ini.
Korea Utara turut curiga dengan keadaan ini dan menggesa siasatan dilakukan untuk melihat kemungkinan sabotaj dari Amerika Syarikat. Hasilnya, beberapa orang pengawai kanannya telah dijatuhi hukuman.
Bagi Amerika Syarikat, mematahkan serangan peluru berpandu Korea Utara adalah satu usaha yang mencabar memandangkan tapak-tapak pelancaran peluru berpandunya bertaburan di hampir keseluruhan negaranya. Ditambah lagi dengan tapak pelancaran mudah alih yang membolehkan peluru berpandu berkenaan dialihkan ke mana-mana lokasi yang strategik.
Sumber berita diperoleh dari The New York Times
Comments
Post a Comment